Ketibaan di Kota Madinah Al-Munawarrah

Bersama Haji Ahmad di Lobi Aziz Khoger Madinah

Setelah berangkat dari restoran dan makan sahur kami tiba di suatu tempat di luar kawasan Madinah untuk menunaikan solat subuh kami. Kami diberitahu bahawa Kota Rasulullah itu sudah tidak jauh lagi maka selepas solat subuh berangkatlah kami semula ke sana. Kira-kira pada pukul 8.30pagi tibalah kami di Kota Madinah. Alhamdulillah syukur perjalanan kami yang memakan masa sekurang-kurangnya 1 hari akhirnya tamat. Sejurus kami tiba kami pun memunggah beg-beg pakaian untuk dibawa ke lobi Hotel Brooj Aziz Khoger Madinah. Sebentar kemudian barulah kami diberi bilik masing-masing dan dapatlah kami berehat seketika sementara menunggu waktu Dzhuhur. Terlihat riak wajah kesyukuran masing-masing bahawa akhirnya dapat kami jejaki ke Tanah Rasul ini dengan keizinan Tuhan Yang Maha Tinggi.


Mohd Noor di waktu Subuh di hadapan Masjid Nabawi

Kemudian itu selesai kami mengemas beg-beg pakaian kami langsung ke lobi lagi untuk menziarah Makam Rasul serta sahabat-sahabatnya dan juga Perkuburan Baqi. Kami dipimpim Ustaz Sinwani untuk membacakan doa dan memberikan salam kepada Rasul serta Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khatab. Suasana sayu mengiringi sanubari apabila di belakang tembok inilah beristirehatnya Rasul dimana selama ini hanya kedengaran sabda-sabdanya serta sunnah-sunnahnya tetapi kali ini berhadapan langsung Makamnya, selawat dan salam buat Rasul s.a.w serta ahli keluarganya Amin. Selepas itu kaum lelaki di bawa masuk ke dalam Masjid di mana di situlah benar-benarnya kami lihat Makam Rasul s.a.w serta dua orang sahabat Baginda. Ustaz membawa kami ke perkarangan Ar-Raudhah iaitu dekenali juga sebagai salah satu Taman Syurga. Disitulah akan makbul doa seseorang jikalau mereka bersolat serta memohon apa yang dihajati. Kawasan Ar-Raudhah pada ketika itu Masya-Allah penuh sesak dengan manusia. Akan tetapi Tuhan Maha Kuasa, dapat kami masuk dan bersolat di dalamnya. Kami bertiga saling berdiri bersebelahan satu sama yang lainnya. Ibarat seseorang yang haus diberikan minum,nikmatnya berada di kawasan Ar-Raudhah ini tidak terkata. Agak lama juga kami berada di dalamnya,melakukan apa saja solat yang masing-masing amalkan. Begitu ramai orang yang ingin bersolat di Ar-Raudhah hinggakan ada yang barangkali sudah berada di sana sejak awal subuh lagi. Di sana kami lihat kawasan di mana dahulunya mihrab Rasul dipenuhi manusia,mereka seperti berdoa seolah-olah Nabi masih berada di hadapan mereka. Keadaan sungguh menakjubkan apabila berada di Taman Syurga ini.


Bapa saudara saya Salim di luar Masjid Nabawi

Kali pertama berada di dalam Masjid Nabi kami terpegun melihat keindahan seni binanya dan juga keluasannya. Agak terpinga-pinga juga kami kerana cuba kami cari di manakah Mimbar tempat Imam megimamkan solatnya tidak kami temui. Sepanjang hari di mana kami tiba di Madinah kami tertanya-tanya akan di manakah Mimbar Imam,akhirnya ketahuilah kami bahawa Mimbarnya adalah hanya sehasta sahaja jaraknya dari Makam Rasul. Bagaimanapun kami tidak berkesempatan untuk bersolat di sana kerana keadaan sudah penuh sesak. Jauh di dalam ada terdapat seperti payung-payung raksaksa di mana ianya akan terbuka dan tertutup mengikut keadaan. Ruang solat muslimah terletak di sebelah belakang,tidaklah kami ke sana kerana kawasan itu adalah kawasan larangan,khusus untuk muslimah begitu juga keadaanya bagi kawasan lelaki.


Sahabat kami Hj Ahmad dan Razali

Hari pertama kami selain dari ziarah Makam Rasul serta sahabat Baginda juga Perkuburan Baqi,kami banyak beristirehat memandangkan keesokan harinya kami akan berziarah lagi ke tempat-tempat sejarah di mana Rasulullah s.a.w menjalankan dakwahnya. Sesuatu yang amat berbeza ketika berada di Kota Rasul ini adalah waktu kami ingin berbuka puasa. Tidak terdapat di mana-mana tempat pernah dilihat apa yang diberikan oleh penduduk-penduduk Madinah ini. Sejurus sebelum berbuka kami agak terpegun apabila sekumpulan anak-anak ini datang kepada kami dan mempelawa kami ke Masjid,mereka menyambut kami begitu mesra sehinggakan ada yang memeluk kami dan mengiring kami ke tempat berbuka yang telah disediakan. Masya-Allah begitu mesranya kami dilayan,dan keadaan ini tidak kami lihat di mana-mana hanya di Madinah sahaja. Menu berbuka kami adalah Roti Nan,Kurma,Tairu dan Gahwa. Gahwa ini adalah sejenis teh yang dibuat dari serbuk seperti rempah. Ianya harus diminum bersama buah tamar yang masih lagi muda untuk mendapatkan gulanya. Kalau tidak biasa pasti kita tidak akan mahu meminumnya kerana jika diminum begitu sahaja Gahwa ini pahit rasanya. Disamping Gahwa air Zam-Zam juga telah disediakan.


Dua Saudara Kembar

Selepas berbuka sekumpulan pembersih yang kami gelarkan "Cleaning Squad" atas sebab mereka senantiasa bersiap sedia untuk membersihkan apa jua sampah atau kotoran yang ada. Pekerja-pekerja ini amat tekun dan kerana merekalah maka keadaan sekitar Masjid begitu bersih sekali dan selesa. Sejurus solat Maghrib lazimnya kami ke pulang ke hotel,di mana Agensi kami telah menyediakan hidangan berbuka di "Kantin" seperti salah seorang dari kami menggelarkannya. Pada wakut inilah kami saling mengenal lebih rapat lagi aggota-anggota jemaah kami khususnya yang datang sendirian seperti Hj. Yusof Abd Rahman,Hj. Ahmad Yusof dan Hj. Razali Samin. Merekalah teman rapat kami di sana di sepanjang waktu kami beribadah. Mereka adalah teman yang amat prihatin dan juga mengambil berat tentang teman-teman seperjuangan. Selepas berbuka di hotel kami bertemu lagi di lobi untuk ke Masjid melakukan solat Isyak serta bertarawih. Suasana terawih di sana amatlah berbeza berbandingkan di tanahair. Waktunya panjang sedikit kerana setiap malam Imam menghabiskan satu juzuk dari Al-Quran. Pada hari pertama kami terasa letih sedikit dan Tuhan sahaja tahu betapa mengantuknya kami namun kudrat Illahi kami berjaya menghabiskan Tarawih kami. Mujurlah suara Imam yang lantang dan mendayu-dayu itu melenyapkan perasaan mengantuk kami. Sungguh menakjubkan apabila bertarawih di sana. Pengalaman ini tidak mungkin luput dari ingatan selagi hayat dikandung badan.


Suasana Bazaar Di Madinah pada waktu malam

Selesai bertarawih satu aktiviti menarik yang kami lakukan iaitu - "Shopping". Inilah aktiviti malam yang menarik di bulan Ramadan kerana kedai-kedai dibuka pada waktu malam sehingga pagi. Begitu ramai manusia bersiar-siar di waktu malam untuk membeli-belah. Sungguh meriah sekali keadaan dengan manusia begitu ramai,tawar-menawar menjadi bahan hiburan kami. Ada yang membeli selendang,ada yang membeli minyak atar dan bermacam-macam lagi oleh-oleh yang ingin dibawa pulang untuk sanak-saudara. Terpegun sejenak apabila melihat manusia begitu ramai,mereka keluar di malam hari,malam seperti siang bahkan lebih hebat. Kami bersiar-siar tidak menghiraukan penat memandangkan kami belum rehat secukupnya,namun keadaan luarbiasa di malam hari membuat kami lupa akan kepenatan kami. Kami sempat juga mencuba makanan di sebuah gerai Pakistan. Makanan yang kami cuba adalah ayam perciknya dan juga sejenis roti yang berlainan seperti Roti Nan tetapi sama besarnya. Roti ini seperti roti chapati hanya besar sedikit dan dimakan bersama Kimahnya tersendiri. Sungguh lazat dan ayam percik ini juga berlainan,agak besar dari apa yang kita lihat di tanahair. Harganya lebih kurang 14 Riyal secucuk. Setelah puas merasa bermacam-macam jenis makanan bersama teman-teman kami mula pulang ke hotel kurang-kurang pukul 1 pagi. Kami harus kembali bersahur pada kira-kira pukul 3.00 pagi di "Kantin".


Ziarah Di Kota Madinah