Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah Ilhamd

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar WalillahIlhamd

 

Ibadah Umrah Ramadan 1421 Hijrah Bersamaan 5 Disember 2000

 

Keberangkatan

Diiringi kaum keluarga ke Lapangan Terbang Changi

Alhamdulillah tanggal 5 Dec 2000 kami bertiga : Salim bin Ahmad;Mohd Noor Bin Ahmad dan diri saya sendiri telah dijadualkan berangkat ke Tanah Suci Makkah serta Madinah untuk menunaikan ibadah umrah kami. Kami telah berdaftar bersama Hahnemann Travel & Tours dan jadual keberangkatan adalah pada pukul 5.10ptg. Kami berkumpul di rumah bapa saudara saya Mohd Noor. Apabila masuk waktu Dzhuhur kami pun beramai-ramai solat berjamaah diimamkan oleh bapa saudara saya Haji Mohd Amin dimana beliau juga turut mendoakan kami selepas solat agar selamat berangkat pergi dan kembali. Kami berangkat dari rumah sekitar jam 2.00ptg.

Bersama rakan-rakan:Haji Ahmad(kiri) dan Razali(kanan)

Jam di tangan telah menandakan tepat pukul 6.00ptg dan pesawat kami berlepas tanpa apa-apa masalah. Beberapa minit kemudian kami berada di angkasa dan keadaan kembali seperti biasa. Terasa seronok juga memandangkan inilah kali pertama saya menaiki pesawat. Kami bertiga duduk di tempat yang sama di mana bapa saudara saya, Salim Ahmad duduk di sebelah tingkap manakala saya di tengah dan bapa saudara saya, Mohd Noor Ahmad duduk di sebelah kanan saya.

 

Bergambar di dalam pesawat

Walaubagaimanapun tempat duduk kami berubah-ubah kerana sering kami keluar masuk untuk ke tandas sehinggakan boleh dikatakan setiap seorang dapat duduk ditepi tingkap dan menikmati pemandangan yang kadang-kala tenggelam timbul disebabkan pesawat yang melintasi waktu yang berbeza-beza. Dalam sekitar 9.00mlm waktu Singapura pengumuman dibuat oleh kapten pesawat menandakan sudah pun masuk waktu berbuka. Alangkah lega rasanya apabila dapat seteguk air setelah begitu lama rasanya kami berpuasa. Kami dihidangkan makanan seperti sayur-sayuran, nasi dan juga buah-buahan disamping menikmati hidangan "dessert" iaitu kek puding.

Bergambar bersama bapa saudara Salim Ahmad(duduk di sebelah tingkap)

Setelah kira-kira pukul 9.30mlm waktu Saudi,kami mendarat di Lapangan Terbang Riyadh dimana ramai penumpang terdiri dari orang-orang Indonesia yang barangkali bekerja di sana turun dari pesawat. Kami diberitahu bahawa pesawat akan berlepas hanya dalam masa sejam lagi. Rasanya tidak sabar untuk sampai ke Jeddah dan melihat akan suasana keadaan yang selama ini hanya kedengaran cerita-cerita dari teman-teman dan saudara mara tetapi kali ini akan menyaksikannya sendiri. Sejurus kemudian pengumuman dibuat dan kami diminta duduk tetap di tempat masing-masing sementara pesawat kami meneruskan perjalanan ke Jeddah. Di dalam perjalan ke sana kami dihidangkan makanan untuk kali terakhir dimana rasanya seperti tidak larat untuk makan lagi kerana sebelum kami mendarat di Riyadh kami telah pun dihidangkan makanan. Tepat pukul 10.30 mlm akhirnya kami tiba jua di Lapangan Terbang Jeddah. Alhamdulillah akhirnya telah selamat kami sampai ke Tanah Semenanjung Saudi. Disana kami dibawa bas yang mengisi penumpang ke kawasan imigresen dalam masa kira-kira lima minit. Akhirnya selepas kira-kira satu jam menunggu, pasport kami akhirnya dicap dan kami pun menuju ke kawasan di mana beg-beg kami telah sedia menunggu.

Bersahur di tengah-tengah perjalanan menuju Madinah Al-Munawarah

Setibanya kami di kawasan menunggu atau "Arrival Hall" kami disambut oleh dua orang Ustaz yang akan membimbing kami di sepanjang ibadah umrah kami. Mereka adalah yang berbahgia Ustaz Sinwani dan Ustaz Asmar yang begitu penat lelah membantu kami serta menguruskan jemaah sehingga ibadah kami sempurna,Alhamdulillah. Setelah disambut mesra oleh ustaz-ustaz tadi kami langsung melakukan solat jamak takkhir di kawasan yang disediakan. Selesai sahaja solat kami terus dibawa bersama barang-barang yang dibawa menuju ke terminal bas dimana sebuah bas telah pun menunggu kami. Kami bertolak dari Jeddah pada kira-kira pukul 12.30mlm. Perjalanan ke Kota Rasulullah iaitu Madinah Al-Munawarah memakan masa lebih kurang 6 jam. Keadaan jalanraya pada waktu malam amatlah gelap dan kenderaan tidak banyak,hanya sekali-sekala baru dapat dilihat imbasan kereta yang melalui lebuhraya itu. Kami sempat bersinggah di salah satu restoran di luar Jeddah untuk bersahur dimana cuaca begitu sejuk sekali sehinggakan ada yang terketar-ketar kesejukan. Kami sempat memakan hidangan yang digelar orang Arab disana sebagai "Nasi Ayam' iaitu sejenis nasi seperti Nasi Bukhari yang dihidangkan bersama kepak ayam. Ayam di sana Masya Allah sangatlah lazat dibandingkan "Ayam Saintifik" di tanahair. Sepinggan Nasi Ayam itu kami makan berdua kerana tak termakan rasanya kalau sendirian. Mungkin bagi orang-orang Arab makanan sebanyak itu adalah perkara biasa bagi mereka.

Setelah makan sahur kami sempat melihat-lihat kawasan tersebut dan sempat juga masuk ke "Supermarket"seperti yang tertera di dinding kedai tersebut. Kunjungan kami ke sana sebenarnya untuk mencari bahan "ubat nyamuk" bagi yang berjam-jam ketagih merokok. Ada terdapat aneka barangan di Supermarket tersebut seperti manisan-manisan dan bermacam macam jenis roti. Sebentar kemudian kami kembali ke bas untuk menyambung perjalan kami ke Kota Madinah Al-Munawarah.

Tiba di Kota Madinah